Khamis, 17 Februari 2011

Aku Orang kampung ...

Cerita tentang diri saya yang dipaparkan adalah kisah benar. Walau bagaimanapun ianya menerima teguran kerana kisah tentang diri yang sebenar hanya boleh diceritakan pada penghujung hayat. Demikian lah nasihat arwah ayah saya dan saya akur dengan nasihat beliau.. Harap maaf kerana kita akan berpindah kepada isu-isu yang lain..

Selasa, 12 Oktober 2010

MYMESHLIFE: Aku Orang Kampung (sambungan)

Selepas saya diberi surat perpindahan sekolah, sekali lagi saya menghadapi masalah. Saya tidak diterima oleh Pengetua di SMK GK (Gunsanad Keningau) kerana dikatakan dari sekolah yang berimej buruk. Saya merasa tidak puas hati lalu mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Pegawai Pendidikan Kawasan (PPK) dengan membawa surat pelepasan sekolah asal dan buku rekod kemajuan akademik pelajar, tanpa ditemani oleh sesiapa. Oleh kerana rekod akademik dan disiplin yang baik maka PPK tersebut membuat memo sokongan dan mengarahkan saya untuk berjumpa semula dengan pengetua di SMKGK. (Terima kasih PPK, Jasamu dikenang). Akhirnya saya diterima bersekolah disini.

Hidup berdikari bermula semula. Saya menumpang di sebuah pondok selama 8 bulan sebelum diterima tinggal di asramaapabila saya masuk ke tingkatan Tiga. Tinggal bersendirian dalam umur 14 tahun sangat membuatkan saya lebih matang. Masak nasi sebelum ke sekolah dan makan tengahari dan malam dengan nasi campur air garam sahaja. Kalau ada duit sikit dapat lah makan maggi. Syukur, saya dapat juga bulatkan hati menghadapi cabaran dengan tempat tinggal yang tidak selesa dan tanpa bekalan air serta elektrik.

Masuk tingkatan Tiga, saya mula tinggal di asrama sekolah dan dapat pula bantuan biasiswa Yayasan Sabah, loaded lah sikit. Tahun ini, rakan saya mulai berkembang. Saya juga mulai cenderung untuk aktif dalam sukan "long distance". Kebebasan juga sudah mula mempengaruhi diri. Latihan sukan setiap petang di luar kawasan sekolah telah membawa kepada kebebasan untuk mencuba rokok. Namun, syukur kehadrat Ilahi kerana tidak sampai mencuba benda-benda yang haram dan merosakkan pemikiran. Disini juga saya telah berkenalan dengan seorang pelajar perempuan yang banyak menyokong emosi dan semangat saya yang akhirnya membibitkan perasaan cinta (cinta monyet). Kami sangat akrab sehinggakan saya dibawa bertemu dengan keluarganya. Tetapi...

Selasa, 28 September 2010

Aku Orang Kampung

Saya dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Dari kecil saya telah terdedah dengan suasana hidup susah. Ayah saya seorang yang tegas. Jika kami adik beradik tidak mengikut arahan nya untuk membantu mereka melakukan kerja harian maka alamatlah rotan akan singgah di kaki.
Saya mula bersekolah semasa berumur 8 tahun dan bermula dalam darjah 2, tidak pernah menduduki Tadika atau darjah satu. Walaupun demikian saya tidak mengalami masalah pembelajaran. Penilaian darjah Lima (sekarang UPSR) saya telah ditawarkan untuk masuk ke Asrama Penuh tetapi keluarga saya tidak mengizinkan.
Masuk sekolah menengah, saya telah dihantar ke sebuah sekolah yang serba kekurangan, menumpang disebuah rumah kosong. Bermula lah kehidupan berdikari sendiri. Setahun kemudian, saya amat tidak selesa sehingga memaksa saya memohon perpindahan ke sekolah lain. Ayah saya tidak izinkan saya, manakala Pengetua sekolah pula tidak membenarkan kerana dia amat sayangkan saya sebagai dikatakan murid pintar. Saya tidak hiraukan sehingga Pengetua tersebut menitiskan airmata ( Terima Kasih dan maaf ku pinta kepada Ust. Zabudin Malik, Pengetua sekolah ini pada tahun 1988). Tanpa bantuan ibu bapa, akhirnya saya diterima bersekolah di sekolah bandar.. (bersambung)